TABUNG IBADAH QURBAN YaPEIM (TaQY) Harga Qurban dan Aqiqah Bagi Tahun 2015M/1436H




BANGI, 17 Jun (Bernama) — Umat Islam boleh menunaikan ibadah korban dengan menyertai skim Tabung Korban Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan menyumbang serendah RM10 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata skim simpanan yang diperkenalkan YaPEIM itu bukan sahaja menawarkan simpanan yang rendah, tetapi juga diuruskan secara sistematik dan terancang berbanding cara konvensional ibadah korban yang diamalkan sekarang di kawasan perumahan.

“Skim tabungan YaPEIM ini dipantau oleh panel khas yang berautoriti iaitu Jawatankuasa Panel Syariah (Khas) Tabung Ibadah Korban YaPEIM yang dianggotai mufti dari seluruh negara.

“Ia juga dipantau Jawatankuasa Panel Penasihat Dasar dan Operasi yang dianggotai pengerusi YaPEIM, wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta wakil sekretariat Ar-Rahnu serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Nasional Pemerkasaan Pelaksanaan Ibadah Korban dan melancarkan Logo Tabung Ibadah Korban YaPEIM di sini pada Selasa.

Turut hadir Presiden dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abdul Malek Awang Kechil.

Jamil Khir berkata kadar satu bahagian untuk ibadah korban bagi seekor lembu di pasaran sekarang adalah di antara RM300 hingga RM350 dan menerusi simpanan serendah RM10 sebulan, peserta skim tabungan akan dapat menunaikan ibadah untuk tempoh masa yang singkat selepas jumlah peserta mencapai kadar satu bahagian ibadah korban berkenaan.

“Tabung ibadah korban yang diuruskan YaPEIM ini dijangka dapat mengumpul dan menguruskan dana sejumlah RM1 bilion menjelang tahun 2020 berdasarkan kepada penyertaan yang menggalakkan untuk program-program ibadah korban anjuran YaPEIM yang lain sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malek berkata skim Tabung Korban YaPEIM yang diperkenalkan tahun lepas itu diharap dapat menggalakkan umat Islam termasuk yang kurang berkemampuan melaksanakan ibadah itu.

“Peserta skim Tabung Korban YaPEIM boleh memilih tiga kaedah untuk menabung iaitu potongan gaji secara bulanan oleh majikan, bayaran bulanan (secara berkala atau tidak berkala) atau bayaran sekali gus,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Tabung Korban YaPEIM boleh diperoleh dengan menghubungi Koperasi Ibadah Korban YaPEIM Berhad di talian 03-27172666 atau melayari laman web di http://ibadahkorban.my/ – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Sugar wax ~ Paling mudah, murah, cepat

Adat Merisik

ADAT BERTUNANG